Senin, 30 Desember 2013

sayangilah kucing

khasiat air ludah

Pernahkah kita bertanya kenapa haiwan menjilati tubuh mereka? Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Dalam dunia haiwan, haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku. Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka. Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.

Kucing Pandai Mengesan Penyakit

Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing. Kucing dikatakan bagus dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat. Sekiranya pemelihara kucing menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucingnya. Kucing itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya. Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu. Justeru sekiranya pemelihara kucing tiba-tiba dijilat oleh kucingnya, jangan ditepis atau dipukul kucing itu. Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air ludah itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.


Air Ludah

Air ludah atau air liur (saliva) adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan. Manusia mengeluarkan sekitar 700 ml air liur setiap harinya. Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah memberbersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan.


Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air ludah terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut. Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.


Kajian Saintifik tentang Ludah

Menurut satu kajian saintifik Belanda, zat dalam air ludah dapat menyembuhkan luka. Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air ludah yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka. Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain. Saintis juga menjangka, air ludah boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.


Pengubatan Cara Lama

Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat. Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki. Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu. Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.


Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua. Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut. Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh. Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil sedikit air ludah sendiri dengan satu jari. Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka. Nescaya cepat sembuh.


Sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, petuanya mudah. Lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin. Menurut orang tua-tua, supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.


Petua paling janggal kedengarannya adalah jika ada anak lelaki yang mandul anunya, si ibu disuruh mengulum anunya sekali. Menurut orang tua-tua, ‘buat syarat’ sahaja. Perbuatan itu bukanlah untuk mewujudkan sebarang erotis sumbang mahram. Orang tua tua amat yakin bahawa petua itu memang mujarab.


Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih. Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.


Sirih dan Ludah

Pemakan sirih mempunyai air ludah yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau. Disebabkan campuran ramuan sirih, air ludah pemakan sirih berwarna merah. Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas. Air ludah yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut. Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air ludah, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang. Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur. Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit. Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.


Air Ludah Orang Mulia

Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu. Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia. Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak. Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.


Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin. Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi. Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad SAW. Mulutnya diludahi oleh Nabi. Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.



Festival Meludah

Festival Meludah diadakan secara tahunan di Mexico. Peserta festival diberi tembakau untuk dikunyah. Fungsi tembakau ini adalah untuk merangsang air liur dan dahak. Peserta kemudian berlumba-lumba menyemburkan ludah mereka sejauh-jauhnya. Peludah yang terjauh akan memenangi pertandingan itu.


Pantang Meludah

Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya. Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’. Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita. Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin. Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah. Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah. Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.


Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan. Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak. Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain. Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain. Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar orang yang diludah.


Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan. Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa. Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.

Share

Follow fadah5 on Twitter

0 komentar:

Posting Komentar