Manchester United mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dengan penuh bergaya selepas membelasah kelab Jerman, Bayer Leverkusen 5-0 di gelanggang lawan, awal pagi tadi.
Manakala Real Madrid yang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kemaraan tampil garang membenam kelab Turki, Galatasaray 4-1 di laman sendiri.
Di Bay Arena, Wayne Rooney memainkan watak penting dalam menghasilkan kemenangan terbesar United di tempat lawan untuk saingan Eropah sejak 1964 apabila mencetuskan empat daripada lima jaringan skuad kendalian David Moyes itu.
Gol-gol United dijaringkan Antonio Valencia minit ke-22, jaringan sendiri Emir Spahic (30), Jonny Evans (65), Chris Smalling (77) dan Nani (88).
Berbaki satu perlawanan, United teratas Kumpulan A dengan 11 mata diikuti Shakhtar Donetsk (8), Leverkusen (7) dan Real Sociedad (1). Donetsk membelasah Sociedad 4-0.
Di Santiago Bernabeu, biarpun Umut Bulut menyamakan kedudukan buat Galatasaray pada minit ke-38, seminit selepas Gareth Bale membuka tirai jaringan tuan rumah, Real mengganas dengan menambah tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Alvaro Arbeloa (51), Angel Di Maria (63) dan Isco (80).
Real terus mengungguli Kumpulan B dengan 13 mata diikuti Juventus yang naik ke tangga kedua dengan 6 mata selepas menewaskan Copenhagen 3-1. Galatasaray dan Copenhagen kini berkongsi 4 mata.
Bagi aksi Kumpulan C, PSG turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Olympiakos 2-1 untuk mengumpul 13 mata dan kemenangan 3-2 Benfica ke atas Anderlecht menyaksikan satu lagi slot menjadi rebutan Olympiakos dan Benfica yang berkongsi 7 mata.
Manakala bagi Kumpulan D, Bayern Munich menewaskan CSKA Moscow 3-1 di tempat lawan dan Manchester City membenam Viktoria Plzen 4-2 di laman sendiri. Bayern dan City sudah pun layak.
0 komentar:
Posting Komentar