Minggu, 02 Februari 2014

Kerajaan Jimat 40 Juta Liter Diesel Sebulan



KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya menjimatkan pemberian diesel kepada nelayan sebanyak 40 juta liter sebulan menerusi pelaksanaan sistem e-pengisytiharan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, melalui sistem itu semua nelayan yang ingin mendapatkan diesel bersubsidi perlu terlebih dahulu mengisytiharkan tinjauan pendaratan ikan masing-masing kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Sebelum sistem itu diperkenal pada 2006 bagi mengatasi penyelewengan, kerajaan mengeluarkan 140 juta liter diesel sebulan, katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tajuddin berkata sehingga Mac lalu, sebanyak 7.7 bilion liter diesel dengan jumlah subsidi kerajaan bernilai RM11.1 bilion telah disalurkan kepada nelayan.

Menurutnya bagi mengekang penyelewengan diesel, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menumpukan pemantauan di perairan wilayah utara membabitkan sempadan Malaysia-Thailand kerana kawasan itu merekodkan kes penyeludupan diesel tertinggi.

“Ini diikuti pemantauan ketat oleh Maritim di daerah Sandakan dan Semporna di Sabah,” katanya. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar