Rabu, 05 Februari 2014

Penyanyi Ezad Lazim dan Asliza Putus Tunang

Penyanyi Ezad Lazim mengesahkan ikatan pertunangannya dengan pembantu peribadi, Asliza Abdullah, telah pun terlerai sejak seminggu yang lalu.



Ezad, 33, berkata, dia yang sepatutnya berkahwin pada Julai lalu tidak sangka percintaan yang terjalin selama empat tahun itu gagal bertahan sehingga ke jinjang pelamin, malah ia terputus seminggu sebelum dia menyambut hari lahirnya yang ke 33 tahun pada hari ini (Jumaat).

“Nak buat macam mana, mungkin kami tidak ada jodoh untuk hidup bersama. Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi.

“Inilah kali pertama saya melalui pengalaman putus tunang dan ia bukannya mudah kerana saya begitu serius dengan pehubungan ini.

“Bagaimanapun saya masih lagi mengharapkan sesuatu yang baik terjadi antara kami, manalah tahu..,” katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Ezad dan Azliza telah mengikat tali pertunangan mereka pada 1 Jun lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Julai 2012.

Bagaimanapun, khabar angin mengatakan keretakan hubungan itu berpunca daripada pihak perempuan yang seolah-olah tidak bersungguh-sungguh dengan perancangan perkahwinan mereka.

Tambah bekas vokalis kumpulan Exist itu, dia enggan menuduh sesiapa pun tentang permasalahan itu dan menganggap masing-masing mempunyai kesalahan sendiri sehingga ia telah menjejaskan perhubungan yang terjalin.

“Saya harap tiada yang menuding jari kepada sesiapa tentang hal putus tunang ini. Bagi saya ia adalah satu pengajaran dan iktibar yang besar buat kami berdua.

“Bukan mudah juga untuk saya membuat kenyataan sebegini kepada pihak media kerana saya sendiri tak tahu untuk jawab apa apabila disoal tentang hal ini,” tuturnya.

Dalam pada itu, Ezad turut mengakui yang dia sudah serik dalam menjalinkan perhubungan cinta, namun penyanyi itu hanya berserah kepada Tuhan tentang hal pengurusan jodohnya.

“Saya sebenarnya susah untuk menyukai seseorang dan apabila perkara begini berlaku, sukar untuk saya jelaskan apa yang terasa di hati.

“Sampaikan keluarga memberikan cadangan untuk membiarkan mereka mencarikan bakal isteri yang sesuai, tetapi saya tak nak. Serik rasanya. Biarlah, saya serahkan jodoh ini kepada Allah S.W.T.

“Dan saya ingin memberi fokus kembali terhadap karier saya selepas ini,” kata Ezad yang sedang sibuk dengan rakaman single lagu terbarunya.

0 komentar:

Posting Komentar